Aku sedang duduk, berehat sebentar setelah lama berdiri menegur orang ramai. Botol air, separuh aku teguk. Betul dahaga. Orang yang lalu lalang semakin berkurang, kerana sudah habis waktu rehat. Selesai meneguk air ada seorang pakcik datang bertegur dengan ku.
Pada pandanganku beliau kelihatan seperti 50 tahun, tapi setelah memulakan perbualan beliau rupanya berumur 70 tahun. Banyak cerita keluar. Tapi kebanyakan kekecewaan tentang nasib orang melayu dan perbezaan perjuangan orang dahulu dan orang hari ini.
Banyak luahan kekecewaan yang aku dapat dengar, peristiwa-peristiwa zaman kemerdekaan sehingga ke hari ini. Tetapi maaf tak dapat aku tulis disini kerana mungkin akan menimbulkan fitnah atau mengguris perasaan sesiapa.
Pengalaman
Tapi bukan itu yang ingin aku kongsikan. Apa yang menarik perhatianku ialah salah satu pengalaman beliau, pernah bekerja di kilang tayar selama 15 tahun. Satu hari pihak pengurusan telah bertukar. Pegawai atasan baru beliau datang berjumpa beliau mengatakan pasti beliau mempunyai pengalaman yang banyak.
Tidak bagi beliau. Aku juga agak terkejut apabila 15 tahun bekerja tapi dikatakan tiada pengalaman. Beliau mengiyakan kenyataan beliau kerana beliau hanya buat satu perkara khusus selama 15 tahun. Di mana pengalamannya?
Segulung ijazah
Beliau mengaitkan dengan graduan hari ini yang rata-rata mempunyai ijazah dan ingin gaji yang tinggi untuk menyara hidup. Dia tidak sangkal kebenaran kos sara hidup yang tinggi pada hari ini. Cumanya ramai yang tidak mahu bermula dari bawah.
Apakah graduan ijazah layak mendapat gaji tanpa pengalaman? Hanya dengan segulung ijazah? Beliau mengatakan ada 3 jenis pekerja. Non-skill, skill dan multi-skill. Untuk mendapatkan gaji yang tinggi kalian harus lah multi-skill.
Jika bos meminta kalian buat kerja di luar skop kerja (yang berkenaan dengan syarikat), adakalanya bos sedang menilai dan menguji kalian. Adakah kalian sanggup atau berkebolehan untuk melakukan kerja yang lain? Itu belum penilaian dari segi cara percakapan dan cara pergaulan lagi.
Skill
Dari non-skill naik taraf ke skill dan akhir sekali kepada multi-skill. Apabila kalian berada di tahap multi-skill baru kalian boleh minta gaji yang lebih tinggi.
Bagi pihak majikan pula, pastinya memerlukan pekerja yang serba boleh. Ini kerana jika seorang tak dapat hadir, para pasukan lain boleh mengambil alih tugas dan pergerakan syarikat dapat berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Jika kalian diberi tugasan diluar skop kerja kalian, janganlah merungut, itu adalah satu peluang untuk kalian menimba pengalaman baru. Kalian tidak akan tahu satu hari nanti kalian akan berhadapan dengan satu situasi dan pada masa itu segala pengalaman kalian dapat diaplikasikan.
Jadi tambah baik la diri masing-masing, naik taraf la diri kalian. Timbalah ilmu sebanyak mungkin. Kerana kita tidak akan tahu yang satu hati nanti pasti ada ilmu yang kita pernah belajar akan diperlukan.
Atau kalian ingin mencari peluang lain?
Semoga bermanfaat!
Leave a Reply