Fikiran berkecamuk, nak lihat apa pun tidak tahu, nak fokus apa pun tak tahu. Aku cuba buat apa pun tidak menjadi. Hasil dari kerja tidak begitu memberansangkan. Ada saja yang tidak kena. Aku berfikir sendiri. Apa yang tidak kena pada kali ini.
Aku menolak tepi segala pemikiran yang aku anggap negatif ini dan teruskan dengan menetapkan mindset untuk mencapai sesuatu setiap hari tapi tidak menjadi juga. Rupa-rupanya aku hanya cuba bersikap positif bukan berpegang pada mindset.
Semakin menjunam
Saban hari aku teruskan semakin aku menjunam. Aku semakin tidak nampak hala tuju masa depan. Komitmen hidup semakin hari aku merasakan semakin berat untuk dipikul. Sepatutnya semakin ringan dari hari ke hari. Tapi aku percaya pasti ada hikmah semua ini.
Sehingga aku ke pejabat tadi hanya dengan satu tujuan untuk mengambil risalah dan pulang semula untuk meneruskan matlamat harian aku. Tiba-tiba ada satu perbincangan yang tidak aku sangka dengan pemimpin atasan. Umpama dapat memasuki perbincangan antara Sultan dan menteri, aku memberi sepenuh perhatian.
Jawapan yang benar tidak boleh disembunyikan lagi
Sedang beliau memberi jawapan kepada rakan kerja yang bertanya, aku sempat bertanyakan soalan juga tentang situasi yang aku hadapi. Disimpulkan dan diterjemahkan jawapan beliau kepadaku, dari raut wajah aku sahaja sudah boleh nampak yang aku sedang hadapi situasi yang tidak sepatutnya. Aku gagal sembunyikan dari insan hebat ini.
Aku terfikir, dari segi lengguk badan dan raut wajah aku tidak mampu untuk sorokkan dari orang sekeliling. Mungkin ada yang perasan mungkin ada yang tidak. Tidak mengapa, aku meneruskan sehingga habis perbincangan tersebut, walaupun perut tengah menggelegak nak melabur ku tahan.
Persoalan yang utama
Akhirnya selesai, hanya tinggal bertiga dengan seorang rakan sejawat yang aku lihat ada masalah yang mirip seperti aku. Raut wajah juga seperti sedang risaukan sesuatu. Apabila kami bertanyakan soalan yang berbeza dari sesi yang ramai tadi, soalan kami dijawab dengan soalan.
Apa kehendak kau dalam hidup ini?
Ya, kami tidak dapat menjawab soalan ini. Kami sendiri tidak tahu apa yang kami nak dalam hidup. Sekarang aku tahu apa masalah aku sebenarnya. Aku adalah seperti kapal tanpa kemudi. Kapal tanpa seorang nakhoda. Kapal yang hanya dihanyutkan oleh air dan angin di laut.
Hala tuju
Powerless, directionless. Itulah yang lebih tepat untuk menerangkan keadaan sekarang. Aku inginkan sesuatu. Tapi sesuatu itu lebih kuat dariku yang membuatkan aku hanya mampu melihat tidak mampu untuk memiliki. Aku inginkan kejayaan dalam hidup tapi aku tidak tahu kemana hala tuju ku untuk masa panjang.
Semua orang ingin berjaya dalam hidup, tapi adakah kita tahu apa yang kita nak dalam hidup kita?
Tentukan matlamat hidup kita, kehendak kita dalam hidup. Mulakan dengan visi untuk masa depan, kemudian rancang misi untuk mencapai sesuatu dalam hidup disusuli dengan tindakan dalam mencapai misi dalam hidup kita. Baru matlamat dan kehendak kita dalam hidup dapat kita kecapi.
Realiti untuk bangkit
Aku bukanlah nak menunjuk kelemahan diriku, tapi ini adalah hakikat yang sebenar yang aku sedang lalui. Aku yakin ramai lagi yang mengalami situasi seperti aku, mungkin kalian pandai menyorokkan disebalik tawa dari hari ke hari. Aku tidak mampu lagi. Aku letih. Cukuplah bersembunyi. Aku ingin membahagiakan orang sekelilingku.
Kini aku bangkit dengan lebih kuat, dengan semangat yang membara, dengan hala tuju yang lebih jitu. Aku kini telah mula mengemudi kapal aku sendiri dan aku telah menetapkan diri ini sebagai nakhoda yang akan menentukan hala tuju kapal ini.
Aku ingin membawa anak kapal ku ke tempat yang lebih jauh, ke tempat jauh lebih baik dari sekarang, ke tempat yang bebas dari rantai yang membelenggu kaki sejak mula berkarier.
Marilah bersama-sama menuju kejayaan seperti mana manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan.
Leave a Reply