Setelah selesai kerja aku di Booth Giant Pandan Indah semalam. Aku mengemas peralatan aku lalu aku terus berjalan ke kereta. Aku lupa nak keluar dari kawasan menuju ke Gombak. Aku nak ke Gombak kerana dah berjanji dengan seorang rakan kerja untuk ambil model produk untuk aktiviti minggu depan.
Aku ambil telefon bimbit terus buka maps dan masukkan kata kunci ke gombak. Alhamdulillah laluan ada cuma keadaan lalu lintas semasa tiada kerana tidak ada internet. Bill kena potongkan? Haha! Aku pun ikut arah GPS sehingga ke lebuhraya MRR2. Masuk saja MRR2, “GPS Signal Lost”.
Urusan
Bunyi lagi. Sebelum mula kerja tadi pun bunyi juga. Ya, tahu lah aku internet takda, ish! Sibuk betul “GPS Signal Lost” ni. Nasib baik aku dah tau jalan dari MRR2 ke Gombak. Maka aku pun meneruskan perjalanan ke Gombak. Selesai urusan ke Gombak. Aku pun bersiap sedia nak balik.
Cuma kali ini aku tidak buka maps, sebab aku dah tahu jalan mana aku nak ikut. Aku pun memandu secara perlahan. Kelajuan dalam 60 ke 80 km/j. Selepas simpang exit DUKE menuju ke Ampang, jalan 3 lorong, banyak kereta perlahan, “Ah jem apa pula malam macam ni.” kata hatiku. Lihat jam menunjukkan 1220 pagi.
Tidak dijangka
Alamak dah lewat, hari jadi isteriku pula malam ini. Takpa, semakin dekat sehingga aku memberhentikan kereta, kelihatan ada pembinaan sedang dijalankan, mereka tutup jalan seketika. Aku pun menyandarkan kepala ke kepala kerusi. Tiba-tiba.
“BAAAMMMMM!!!” satu rempuhan yang sangat kuat dibelakang kereta aku. Di ikuti dengan seribu satu serpihan kaca bertaburan sehingga atas dashboard depan. Aku hampir terhentak ke stereng, tapi tali pinggang keledar telah menyelamatkan aku. Alhamdulillah. Aku tergamam. Allahuakhbar, terasa seperti nyawa di hujung tanduk, aku lihat kaca-kaca tu dan perlahan-lahan menyentuh kepalaku.
Sambil membuang serpihan kaca, terlintas di fikiranku, Alhamdulillah masih diberi peluang untuk terus bernafas, alhamdulillah aku rasa anggota badanku yang lain masih ada, teringat anak isteri di rumah dan aku bersyukur aku masih bernyawa. Terasa banyak perkara yang muncul dalam fikiran tak dapat aku nak senaraikan satu persatu.
Kereta atau van?
Banyak kaca juga celah rambutku. Satu persatu aku buang, ada yang tercucuk di jari. Di leher juga terasa ada serpihan-serpihan kaca. Aku tengok cermin tengah, gelap tak nampak apa-apa. Ish, kereta apa yang langgar aku ni? Ke van?
Aku keluar tengok belakang, Allahuakhbar, motosikal rupanya, keadaan dah hampir terlipat dua, bonet kereta, bumper kereta, lampu belah kiri dan cermin belakang pecah habis dan remuk ke dalam. Aku lihat penunggang motosikal mengeluarkan suara yang tidak berapa kuat, Allah…Allah…Allah..
Keadaan motosikal masa itu hampir terlipat dua, ada insan-insan yang baik hati, semoga Allah rahmati kalian semua. Berhenti dan mengalihkan moto tadi ke tepi jalan. Dah alih baru nampak ada rupa motosikal.
Aku tidak tahu nak buat apa, masih terkejut dengan kemalangan ini. Nak tolong angkat, aku tidak tahu sejauh mana kecederaan beliau, kaki beliau tidak nampak bentuk normal lagi. Tiba-tiba, siren dan lampu biru mendekati. Alhamdulillah rupanya ada kereta peronda polis tidak jauh dari lokasi aku.
Dipermudahkan Alhamdulillah
Polis terus menghubungi ambulans, dalam 5 minit, ambulans sampai. Alhamdulillah dipermudahkan, aku berharap dan doakan agar penunggang motosikal cepat sembuh, tak sampai hati tengok keadaan beliau.
Berkat bulan Ramadhan, Alhamdulillah segala urusan selepas itu dipermudahkan. Seorang rakan aku datang membantu walaupun agak lewat. Terima kasih sahabat. Aku juga berdoa agar dugaan penunggang motosikal tadi dipermudahkan untuk beliau dan keluarga beliau.
Kepada kalian yang memandu, ingatlah, sentiasa pakai tali pinggang keledar. Malang tidak berbau, kita tidak tahu apa akan terjadi. Kepada penunggang motosikal juga, pakailah topi keledar dan berhati-hati lah ketika menunggang di jalan yang sedang dalam proses pembinaan jejantas dan sebagainya.
Berhati-hati. Malang tidak berbau.
Leave a Reply