“Assalamualaikum” Rizal memberi salam sambil membuka pintu. “Waalaikumsalam abang. Baru balik kerja bang?” balas Sofea, buka pintu sambil menghulur tangan untuk salam suaminya.
“Eh tak lah, baru nak pergi kerja.” usik Rizal. “Adoii!” jerit Rizal apabila menerima cubitan padu dari Sofea di lengannya. Begitulah setiap kali pulang dari kerja. Kebiasaannya Sofea akan menyiapkan air teh pada Rizal. Tapi oleh kerana puasa, Rizal akan terus mandi bersiap untuk berbuka.
Rizal letak bag di tempat biasa dan berjalan ke bilik tidur beliau, “amboi sedapnya bau!” tegur Rizal.
“Ini masak rendang ni, tak sabar pulak nak makan.” sambung rizal lagi.
“Sabar bang, pergi mandi siap-siap dulu. Lagi 15minit nak berbuka ni.” balas Sofea. Anak mereka Syakir berumur 3 tahun sedang tidur dalam bilik.
Gembira bila anak tidur
“Lama dah ka Syakir tido?” tanya Rizal hanya bertuala. “Baru setengah jam bang, letih main di rumah pengasuh tadi, masa ambil dia, berpeluh-peluh, anak abang tu lah!” kata Sofea.
“Baru tidur okay lah, boleh berbuka dengan tenang dan manja-manja sekejap, hihi.” kata Rizal sedikit gatal.
“Bang, jangan ngada eh, kejap lagi bangun la hero awak tu!” balas sofea muka garang. “Dah pegi mandi, Sofea nak siapkan rendang ni. Sikit je lagi.” sambung Sofea.
Rizal dengan muka mengejek terus masuk ke bilik air dan mandi. 10 minit kemudian, Rizal keluar, siap-siap dengan pakai pelikat, sembur minyak wangi sikit.
Kena wangi untuk isteri kata Rizal dalam hati. Rizal menyikat rambut dan melihat anaknya sedang tidur. Dikucup lembut di dahi anaknya itu.
Rendang dah siap masak!
Sofea menarik nafas lega, rendang yang dimasak telah kering, diasingkan ke dalam bekas berasingan untuk makan di rumah, dibawa ke rumah mertua pagi raya nanti. Hati Sofea berasa sangat gembira dapat masak rendang untuk orang makan, walaupun dalam hati beliau sedikit risau takut tak kena tekak keluarga mertuanya.
Ah, lantak la! Bisik hati Sofea.
Satu persatu lauk dihidangkan ke atas meja, jam menunjukkan 7.20pm. Lagi 2 minit nak buka puasa, “Mana laki aku ni, lama betul bersiap. nak buka je pun, lama betul” bercakap seorang diri.
“HAH! MEMBEBEL APA TU!” sergah Rizal sambil cucuk di perut Sofea. “ASTAGA!” terjerit Sofea dibuatnya.
Nasib baik tak tercampak bekas air yang dipegang Sofea. “Ish abang ni, nasib baik tak tumpah air ni. Kalau tumpah bukan abang lap pun, dah tambah lagi satu kerja, dah la nak buka ni.” Sofea membebel pada suaminya.
“Alaa, jangan lah mar…..” belum sempat Rizal habiskan kata-kata.
Waktu berbuka
“Allahuakhbar….Alllaahhhhuakkhhhbar” kedengaran azan berkumandang.
“Haa bang, jangan cakap banyak, jom kita buka dulu.” kata Sofea. Rizal hanya tersengih kemudian menadah tangan dan membaca doa bersama Sofea.
Mereka berdua minum satu cawan air dan makan dua biji kurma.
Kemudian mereka berdua terus bangun mengambil wuduk dan menunai solat maghrib bersama-sama. Inilah yang dipraktikkan oleh Rizal dan isterinya, dari pesanan ibu bapa masing-masing, berbuka dengan air dan kurma lepas itu terus solat. Nanti dah makan, kekenyangan, lemau nak solat.
Selesai solat, mereka duduk kembali. Sebagai isteri yang mithali, Sofea mengisi pinggan suaminya dengan nasi dan terus membubuh lauk pauk pada suaminya. Kemudian baru dia mengambil nasi.
Luluh hati
Rizal mengaulkan nasi dengan lauk rendang tadi, kemudian menyuapkan ke dalam mulut. Suapan demi suapan Rizal hanya diam. Sofea menanti kalau-kalau suaminya nak memberi apa-apa komen. Sekurang-kurangnya beliau tahu mana yang tak kena.
“Sedap ke bang?” Sofea memecah kesunyian.
“Boleh lah, tak macam mak buat.” balas Rizal dengan muka tidak ada perasaan.
Luluh hati Sofea mendengar respon suaminya begitu. Janganlah sesekali samakan masakan mak dan masakan seorang isteri. Tidak boleh dibandingkan pun. Kena faham, yang ibu kita lain asalnya, isteri kita pun lain asalnya.
Perbandingan yang tidak betul
Ada orang masak suka guna minyak sapi. Dikatanya sedap yak amat. Tapi ada orang tak suka pun makan masakan yang ada minyak sapi. Ada orang suka masakan manis Ada orang tak suka masakan manis. Masakan isteri adalah satu tahap yang lain. Tak boleh dibandingkan dengan tahap lain.
Jika kalian nak isteri masak ikut kehendak kalian, kalian beritahu lah. Jangan pendam. Suami isteri saja yang kenal antara satu sama lain kan? Hormatilah di antara satu sama lain. Jangan terkejut ada perceraian berlaku kerana isteri tak masak seperti ibu suami.
Pandai masak atau tidak bukan masalah. Janji keikhlasan antara satu sama lain dalam rumah tangga. InsyaAllah akan bahagia sehingga ke akhir hayat!
Bukan berkhutbah tapi pesanan untuk diri ini juga!
Semoga Bermanfaat.
Leave a Reply