Ada suatu kisah terjadi pada satu malam. Aku pulang agak lewat ke rumah kerana kerja. Jam menunjukkan pukul 1230 tengah malam. Selesai letak kereta, aku berjalan ke lif. Aku melihat telefon bimbit. Mesej yang dihantar melalui whatsapp masih belum dibaca isteriku.
Aku berjalan keluar lif sehingga ke depan pintu rumahku. Buka Kunci dan perlahan-lahan membuka pintu, risau anakku terjaga. Jika terjaga, harapan untuk tidur balik, menjadi gelap gelita. Aku berikan salam. Tapi tiada yang menyahut. Senyap dan sunyi. Mana pergi? Selalu isteriku sahut.
Aku pun letakkan perkakas dan beg di tempat yang sepatutnya, kemudian aku masuk ke bilik tidur. Isteri dan anakku sudah lena. Aku pun terus masuk ke bilik air, mandi. Selesai mandi aku keluar, isteriku masih tidur. Selalu senang terjaga, penat agaknya.
Menghadap
Aku siap-siap, perlahan-lahan aku baring disebelah isteriku, perlahan kerana tidak mahu tidur isteriku terganggu. Aku baring menghadap wajah isteriku. Aku tenung wajah isteriku sedalam-dalamnya dan membuatkan aku terkesima.
Kerana pada waktu ini, tiada bedak yang tebal, tiada gincu, tiada alat solek, tiada hiasan diwajah isteriku. Tiada wajah marah, tiada wajah yang berpura-pura, tiada wajah yang dibuat-buat.
Semakin lama semakin berkocak perasaan dalam hati. Kasih, cinta, terharu, gembira, sayang, penuh harapan dan macam-macam lagi. Timbul perasaan ikhlas dari dalam hatiku dan terdetik.
Ikhlas dari hati
Wahai isteriku, dahulunya engkau adalah seorang gadis yang bebas lakukan apa sahaja yang engkau mahu dengan hidupmu. Bebas ke sana dan ke mari. Dahulunya banyak perkara yang boleh engkau lakukan dengan kelebihanmu.
Tapi engkau korbankan semua itu kerana bersetuju untuk hidup denganku, mengikut telunjukku, taat kepadaku, menentukan makan minumku, dan mengikhlaskan rahim mu untuk mengandungkan anakku. Engkau korbankan kelebihanmu dan mengorbankan masa dengan memikul tanggungjawab menjadi seorang ibu kepada anakku.
Wahai isteriku, sungguh besar pengorbananmu sehinggakan aku rasa tiada alasan untuk aku merungut sekadar engkau tidak cantik, tidak pandai masak, tidak pandai kemas rumah atau tidak pandai itu ini. Sedangkan aku juga tidak kacak, tidak sempurna seperti yang kau harapkan.
Tersedar
Aku tersedar, tidak layak bagiku untuk mengatakan yang engkau tidak sama denganku walhal dalam membina rumah tangga harmoni bukanlah persamaan yang dicari, tapi lengkap melengkapi yang diperlukan antara satu sama lain.
Di saat gembira, kau bersamaku, di saat aku sedih, kau penglipur laraku, di saat aku gusar, kau menjadi semangatku, di saat aku lapar, kau masak untuk aku, di saat aku dahaga, kau ambil air tanpa aku minta. Di saat aku salah, kau lah yang menasihati aku.
Terima kasih isteriku atas pengorbanan yang tidak ternilai ini. Terima kasih kerana menerima diri ini sebegini dan melengkapi hidupku. Apa yang aku boleh lakukan cuma akan bekerja dan berusaha lebih keras dalam mengubah hidup dan ekonomi keluarga kecil kita.
Air mata mengalir
Mengalir air mata jantan menghadap wajah ikhlas isteriku ketika sedang tidur, aku hampir terlelap tapi aku bangun kerana tidak mahu ruang tidur isteriku semakin sempit, maklumlah saiz macam belon. Dengan cara ini akan membuat kita teringat balik niat asal kita mendirikan rumah tangga.
Jika kalian buntu, ada rasa yang tidak kena dengan hubungan isteri kalian, cubalah renung wajah isteri ketika sedang tidur. Kadang kala dek kerana pengaruh sekeliling, pengaruh tekanan kerja dan pengaruh negatif dari kehidupan seharian, kita lupa tentang isteri paling dekat dengan kita.
Aku hanya berkongsi kisah dengan kalian agar kalian juga dapat memperbaiki apa saja kekurangan dalam rumah tangga kalian. Aku doakan kalian bahagia bersama keluarga sehingga ke akhir hayat.
Akhir kata, terima kasih isteriku!
Leave a Reply